Home Artikel Informasi & Inspirasi Apakah Perbezaan Istilah Endemik, Epidemik Dan Pandemik?

Apakah Perbezaan Istilah Endemik, Epidemik Dan Pandemik?

1041
1

Pernahkah anda mendengar berita-berita yang berkaitan dengan penularan wabak penyakit berjangkit sama ada daripada pembaca berita atau pun daripada artikel yang menggunakan istilah tertentu seperti endemik, epidemik atau pandemik untuk menerangkan kadar penularan wabak penyakit yang berkenaan. Namun, adakah anda faham dengan istilah-istilah yang digunakan tadi?

Endemik adalah penularan setempat dengan kadar yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Sebagai contoh, demam denggi yang menjadi isu apabila berlakunya musim hujan kerana pada ketika ini nyamuk Aedes mumpunyai tempat untuk membiak. Oleh itu, kekerapan demam denggi yang sentiasa berlaku ini diistilahkan sebagai endemik, dengan syarat jumlah kes-kes demam denggi yang berlaku tidak meningkat dan berlaku pada kadar yang sama atau hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya.

Epidemik adalah peningkatan jumlah kes penularan setempat. Situasi ini dapat dilihat apabila berlakunya wabak penyakit tertentu yang meningkat melebihi daripada jumlah yang dijangka. Contohnya, penularan wabak COVID-19 yang berlaku di wilayah Wuhan, China pada akhir tahun 2019. Virus novel itu dinamakan COVID-19 dan dikenal pasti sebagai golongan koronavirus, termasuk SARS dan selesema biasa. Pada peringkat awal di China pada akhir tahun 2019, epidemik ini mengakibatkan beberapa orang kematian dan kes jangkitan yang rendah serta hanya merebak dalam wilayah Wuhan sahaja pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, wabak COVID-19 ini tidak terhenti sekadar peringkat epidemik yang bermula di wilayah Wuhan, China. Ia kemudian menjadi kebimbangan diperingkat global apabila virus Koronavirus ini mula melangkaui sempadan China. Setakat pada bulan Februari tahun 2020, terdapat 9 negara yang mencatatkan kematian di luar sempadan China. Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China telah mengumumkan jumlah kematian akibat wabak COVID-19 meningkat seramai 2,804, manakala kes yang dijangkiti seramai 82,166. Jumlah wabak COVID-19 ini telah melebihi angka kematian akibat wabak SARS yang sebelum ini. Justeru itu, apabila jangkitan wabak telah melangkaui sempadan setempat atau negara, situasi ini dirujuk sebagai pandemik. Apabila wabak mula mencapai status pandemik, ia merupakan satu insiden yang amat serius.

Secara ringkasnya, endemik adalah penularan setempat dengan kadar yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Manakala, epidemik ialah peningkatan jumlah kes penularan setempat dan pandemik pula merupakan peningkatan jumlah kes melangkaui sempadan setempat atau negara.